PAKEJ QURBAN & AQIQAH

Posted in Qurban/Akikah

IBADAH QURBAN

Qurban ialah penyembelihan binatang qurban yang dilakukan pada Hari Raya Haji (selepas solat ‘Idil Adhha) dan hari-hari Tasyriq iaitu ,11,12 dan 13 Zulhijjah kerana beribadah kepada  Allah s.w.t. , iaitu sebagai menghidupkan syariat Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. 
Firman  Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syi’ar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.”    (surah al-Haj:36)
“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah.”    (Surah al-Kauthar:2)
Daripada Aisyah r.a Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu.”    (Riwayat al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Zaid bin Arqam berkata: “Mereka telah bertanya, Wahai Rasullullah, apakah Udhhiyah (Qurban) itu? Nabi Muhammad s.a.w. menjawab: “Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi Ibrahim.” Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan.”Mereka bertanya: “maka bulu yang halus pula? Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Dengan tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan.”   (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
AQIQAH UNTUK ANAK
Aqiqah pengertian dari segi bahasa ialah rambut di kepala kanak-kanak. Sementara pengertian aqiqah dari segi syara ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. Aqiqah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh  Allah s.w.t. sebagaimana penjelasan Rasulullah s.a.w.dengan sabdanya yang bermaksud: “Setiap anak yang lahir itu  terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama.” (Riwayat Abu Dawud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah).
Ibnu Majah menerangkan maksud “… terpelihara dengan aqiqahnya…” (pada mafhum hadis diatas) adalah bahawa aqiqah itu sebagai sebab yang melepaskan kanak-kanak tersebut daripada gangguan syaitan yang cuba menghilangkan daripadanya melakukan kebaikan.
Daripada Salman bin Amir al-Dhabley, bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Untuk anak lelaki itu aqiqahnya. Tumpahkan atasnya darah dan hilangkanlah daripadanya kekotoran dan najis.” (Riwayat Abu Daqud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah).
Menurut Imam Ahmad bin Hambal, bahawa apabila seseorang kanak-kanak itu mati dalam keadaan belum diaqiqahkan lagi, maka anak itu tidak dapat mensyafaatkan kedua-dua orang tuanya diakhirat kelak.        sumber: tanbihul_ghafilin

☪☪ HIKMAH IBADAH QURBAN

Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyahut perintah Allah Ta’ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s.
Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yang melimpah-ruah.
Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.

FADHILAT yang diperolehi daripada ibadah korban amat besar. Antaranya ialah:

➯ Menambah amal kebajikan- Sabda Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan”.(Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

➯ Sebagai penebus dosa- Sabda Rasulullah s.a.w kepada Sayyidatina Fatimah:
Maksudnya: “Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu”.(al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

➯ Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah- Sabda Rasulullah s.a.w:
Maksudnya: “Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla.”

☪☪ HIKMAH disarankan melakukan AQIQAH dalam Islam untuk anak yang baru lahir ialah:

Untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT yang menciptakannya sejak daripada detik-detik awal kehidupannya dan sesungguhnya ia dilahirkan ke dunia ini dengan izin Allah.

Sebagai salah satu cara bagi ibu bapa melahirkan tanda kegembiraan dan kesyukuran atas kelahiran cahaya mata mereka.

Menyemai sifat pemurah pada si anak dengan harapan akhlak terpuji ini menjadi fitrah semulajadinya apabila dewasa kelak.

Mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan anggota masyarakat ke arah melahirkan suasana kehidupan yang aman dan harmoni.
Sumber:JAKIM

AQIQAH 2015 NEH